Ayahku…(Bahagian 1)
25 October 2007 
Hari ini Miza terbaca artikel tentang ibu Yusni Jaafar yang beraya berseorangan di rumah barunya. Tanpa ditemani suami dan anak-anak. Rasa sedih menyelinap dalam hati, betapa seorang ibu yang melahirkan dipinggir oleh anak darah daging sendiri.
Apa pun yang terjadi, beliau tetap ibu yang wajib ditaati selagi tidak bertentangan dengan hukum syarak. Dimana kasih anak buat bonda yang melahirkan mereka ke dunia. Walau apa pun silap si ibu, anak tidak berhak untuk menghukum ibu.
Entah bagaimana ingin Miza coretkan di sini.
Raya yang lalu, Miza mencari ayah kandung yang tidak pernah Miza lihat wajahnya. Kalau ada pun pada usia Miza kurang dari 2 tahun. Masih lagi bayi sewaktu ayah meninggalkan pergi.
Perjalanan bermula pada hari Khamis 18 Oktober 2007. Miza bertolak pada pukul 8.30 pagi dari Bukit Jering Jeli. Destinasi utama yang ingin dituju adalah Selancar, Segamat Johor. Disebabkan abang Miza tidak begitu pasti tempat tujuan. Kami terpaksa meminta bantuan bapa sepupu yang berada di Jertih Terengganu. Kami tiba di Jertih pada pukul 10.30 pagi. Kami berhenti berehat seketika dan makan tengahari. Kami memulakan perjalanan ke Johor lebih kurang 1.00 tengahari.
Sewaktu menanti perjalanan seterusnya, Miza sempat menziarahi emak sepupu yang lain. Bila diperkenalkan sebagai anak Pak Rahim, semuanya terkejut. Banyak versi cerita mengenai ayah Miza yang keluar. Apa yang boleh, dengar sahaja la.
1.00 tengahari, kami memulakan perjalanan ke Johor. Pada mulanya Miza ingat kami akan melalui laluan pantai sepanjang pantai Terengganu. Rupanya Miza silap. Kami ikut jalan Hulu Terengganu. Yang boleh dilihat hanyalah pokok kelapa sawit. Sawit pun sawit la…
Jam 6.00 petang, kami telah sampai di Kuantan Pahang. Kami terus menelusuri jalan ke Segamat Johor. Pada mulanya Miza ingatkan ayah berada dalam negeri Pahang. 8.30 malam, kami sudah sampai di Selancar. Kami mula mencari rumah ayah, berpandukan alamat yang diberikan. Hampir sejam juga kami mencari, barulah kami menemukan rumah yang dimaksudkan.
Sesampai kami di sana, rasa kecewa menyelubungi diri. Rumah berkunci tidak bertuan. Aduh, begitu jauh kami mencari, yang ditemui hanyalah rumah yang kosong. Hampir 5 minit juga kami memberi salam, barulah bersahut. Itupun dari belakang, bukan dari dalam rumah. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya ada juga orang yang sudi melayan kami. Dipendekkan cerita, ayah yang dicari tiada di rumah. Dia berada di Kuantan, rumah anaknya yang tidak pernah dia tinggalkan sebagaimana Miza.
Setelah berbincang, kami setuju untuk berpatah balik ke Kuantan. Bayangkan, kami akan menempuh 2 jam perjalanan lagi untuk sampai ke Kuantan. Tanpa beralas perut, kami terus bertolak ke kem tentera Batu 10 Kuantan Pahang. Tempat di mana ayah berada.
