Ayahku…(Bahagian 2)
4 November 2007Sudah berhari-hari Miza mencuba untuk menyambung kisah Ayahku. Biasanya hanya 2 atau 3 baris sahaja yang boleh Miza tulis. Kemudian ‘blank’ tidak tahu macam mana ingin menyambung tulisan tersebut. Akhirnya terbiar terbengkalai kisah Ayahku. Hari ini, Miza kembali mencuba menyiapkan kisah tersebut. Moga-moga berhasil.
…………………………………………………………………………………………………………………….
Sepanjang perjalanan, Miza hanya membisu. Tiada kata yang diucapkan, sekadar memandang kepekatan malam sepanjang laluan perjalanan kami. Di sebelah Miza ada adik ‘segera’ yang baru dikenali. Tiba-tiba Miza ada adik lagi yang kini telah pun berusia 17 tahun. Janggal rasanya ingin memulakan perbualan. Sebenarnya Miza ingin berbual-bual dengan dia. Ingin bertanya tentang kehidupan dia, tentang ayah, ingin mengetahui sedikit sebanyak latar belakang ayah yang tidak pernah Miza kenali dan ketahui sebelum ini. Tetapi Miza tidak tahu di mana harus dimulakan. Akhirnya Miza memilih untuk membisu sedangkan dalam fikiran penuh persoalan yang tidak terjawab. Biarkan…
Sesampai kami di perkarangan quarters tentera, jam mengahmpiri jam 12 malam. Dengan rasa lapar dan lesu, kami menapak ke dalam rumah. Kini, salam diberi terus bersahut, malah di nanti lagi kedatangan kami. Alhamdulillah.
Dengan lafaz Bismillah, Miza melangkah masuk. Di sudut ruang tamu, kelihatan lelaki tua. “Mungkin itu ayah aku”, bisik hati kecil Miza. Miza bersalaman dengan semua. Termasuk lelaki tua tadi.
“Ya, kalau tak datang dengan Pak Teh Manaf, mesti tak jumpa cari ni”, tiba-tiba ayah bersuara.
“Ialah, sebab tu ajak pak teh datang, sebagai penunjuk arah, itu pun sesat juga nak cari rumah ayah di Selancar tu”, balas abang.
“Ayah, kenal siapa tu”, tiba-tiba abang bertanya pada ayah sambil menunjuk ke arah aku.
“Huh, dia tak tahu, ada anak dia seoranag lagi yang datang cari dia, dia ingat Ya je kot nak datang jenguk dia”, balas Pak Teh Manaf.
Ayah memandang pada aku. Lama dia merenung, apa yang direnung pun aku tak pasti.
“Anak ayah ni”, balas Abang Ya
“Siti Nurbaya ke?”, ayah mula meneka. Aduh, anak sendiri pun boleh main teka-teki ke? Hehehe….. Miza dah agak, perkara macam ni akan berlaku. Sewaktu ayah meninggalkan Miza dulu, Miza masih lagi bayi. Belum pun berusia 2 tahun. Secara tepatnya 22 bulan. Mana mungkin ayah akan mengenali Miza yang ditinggalkan pada usia bayi. Kemudia tidak pernah dijenguknya selepas itu. Pertemuan itu adalah pertemuan pertama kali setelah hampir 25 tahun ayah pergi meninggalkan Miza.
Kami saling berpandangan. Ternyata tekaan ayah meleset. Miza bukan Siti Nurbaya, kakak yang Miza kenal namanya sahaja, tidak rupa parasnya. Lantas Abang Ya cakap, ini kakak Abdul, anak isteri ayah di Telekong Kuala Krai. Hmmm ramai sangat isteri, sampai tak tahu anak yang mana satu.
ps: nanti Miza sambung lagi…

